KeNYaLanG loVE

KeNYaLanG loVE

Sunday, August 28, 2011

NURI TERHEMPAS LAGI....

Nuri dijumpai, 6 terbunuh



TINJAU LOKASI: Helikopter Nuri berlegar di kawasan pesawat terhempas
kira-kira 5 kilometer dari Lebuhraya Karak berhampiran terowong
Genting Sempah, semalam.

Pesawat terhempas di lurah sedalam 200m tetapi tak terbakar, kipas tertanggal

GENTING: Semua enam pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang hilang bersama helikopter Nuri sejak Jumaat lalu, terkorban dengan pesawat itu ditemui terhempas di lurah bukit, kira-kira lima kilometer dari terowong Genting Sempah dekat sini, petang semalam.

Pesawat yang dipercayai menjunam sebelum terhempas di lurah sedalam lebih 200 meter itu, ditemui sepasukan lapan anggota Batalion ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) dari Kem Terendak, Melaka pada jam 1.24 petang.


DETIK PILU: Md Yassin Jaafar bapa kepada Sarjan Udara,
Mohd Azmie ketika di temubual wartawan di rumahnya di Batu Berendam.

Difahamkan, helikopter itu tidak terbakar tetapi kipasnya tertanggal manakala empat mayat mangsa ditemui di dalam bangkai pesawat berkenaan, manakala dua lagi di luar.

Bagaimanapun, sehingga operasi dihentikan jam 8 malam tadi, jenazah semua mangsa masih gagal dikeluarkan berikutan cuaca buruk dan hutan tebal.

Selain juruterbang pesawat itu, Kapten Nor Azlan Termuzi, 29, dan pembantunya, Kapten Nor Intan Asykeen Mohd Arof, 27, empat lagi mangsa dikenali Sarjan Udara Khusnizaim Ariffin, 34, Sarjan Udara Mohd Azmie Md Yassin, 35, Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias, 28, dan Laskar Udara Kanan Muhammad Ridzuan Ahmad, 27.


HADAPI DUGAAN: Mohd Arof Arifin dan Masnah Nopiah,
ibu bapa Kapten Nor Intan Asykeen menerima berita kematian
anak mereka dengan tenang.

Ketika kejadian itu, semua mangsa dalam penerbangan dari Pangkalan TUDM Sungai Besi ke Kuantan. Pesawat itu berlepas jam 9.25 pagi sebelum dilaporkan terputus hubungan dengan menara kawalan 10 minit kemudian ketika berada udara Gombak.

Pasukan mencari dan penyelamat yang menemui pesawat berkenaan pada operasi hari kelima semalam, sebelum itu turut menghadapi kesukaran menghantar isyarat berikutan cerun terlalu curam.

Isyarat asap pelbagai warna yang dilepaskan dikatakan tidak dapat dikesan beberapa pesawat peninjau termasuk Nuri serta helikopter bomba dan polis akibat kabus tebal.


SABAR MENANTI: Keluarga dan jiran Laskar Udara
Muhammad Ridzuan Ahmad bersabar menunggu jenazah di Kampung
Kelut Mukim Jabi, Pokok Sena, semalam.

Lebih 1,000 anggota serta pesawat daripada pelbagai agensi keselamatan termasuk Sea Hawk Tentera Laut Amerika Syarikat dan helikopter peribadi Sultan Pahang menyertai operasi itu sejak lima hari lalu.

Sementara itu, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan siasatan awal mendapati pesawat itu terhempas berikutan cuaca buruk sejurus selepas berlepas dari Pangkalan TUDM Sungai Besi.

Dalam sidang akhbar di Kementerian Pertahanan di sini, Timbalan Perdana Menteri berkata, Lembaga Penyiasat sudah memulakan siasatan dan akan mengemukakan laporan dalam masa sebulan.

Mengenai kelewatan pasukan mencari dan menyelamat menemui helikopter itu, beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, cerun yang curam, hutan tebal dan cuaca buruk serta masalah komunikasi menyebabkan pesawat itu sukar dikesan.

Najib juga berkata, pasukan khas TUDM (Paskau) dan anggota komando sedang berusaha menggunakan kaedah terbaik bagi membawa keluar jenazah enam mangsa terbabit.

揌utan tebal umpama kanopi semula jadi di kawasan itu perlu ditebang untuk memudahkan jenazah dikeluarkan mengikut jalan udara,� katanya sambil mengucapkan takziah kepada anggota keluarga mangsa.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada anggota pasukan mencari dan menyelamat termasuk tentera, polis, bomba dan sukarelawan yang bekerja keras sejak Jumaat lalu.

Mengenai penggunaan Nuri, Najib berkata, laporan terperinci mengenai nahas itu serta perancangan TUDM akan diteliti sebelum membuat sebarang keputusan.

揔ita tidak banyak pilihan sebab Nuri adalah pesawat utama pengangkutan Angkatan Tentera Malaysia terutama dalam menjalankan operasi keseluruhan pasukan. Oleh itu, kita tidak boleh tamatkan serta merta operasi Nuri,� katanya.

Najib berkata, pihaknya juga akan menimbang melengkapkan pesawat berkenaan dengan alat pengesan automatik supaya mudah dikesan apabila berlaku kecemasan.

Ketika ini, ATM memiliki lebih 20 pesawat Nuri berusia antara 30 dan 40 tahun tetapi masih dalam keadaan baik.

Pegawai Perhubungan Awam TUDM, Mejar Zulkiflee Abdul Latiff dalam kenyataan yang dikeluarkan pula berkata, jenazah semua mangsa akan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di kampung masing-masing.


INFO: Kronologi


13 Julai � Helikopter Nuri dinaiki enam pegawai dan anggota TUDM hilang ketika dalam penerbangan dari Pangkalan TUDM Sungai Besi ke Kuantan jam 9.25 pagi, selepas terputus hubungan dengan menara kawalan 10 minit kemudian.


14 Julai � Beberapa saksi mendakwa melihat helikopter Nuri itu terbang rendah di kawasan Genting Sempah sebelum hilang. Tumpuan gerakan mencari pada lingkungan 55 hingga 60 kilometer persegi, meliputi sembilan kawasan yang antaranya Genting Bidai ke Awana Genting Highlands; Genting Sempah ke Gohtong Jaya serta semua kawasan berbukit di Genting Highlands.


15 Julai � Cuaca buruk, termasuk awan dan kabus tebal, selain angin kencang dan hutan tebal dengan ketinggian curam menyukarkan operasi SAR di udara dan darat. Pesawat Sea Hawk Tentera Udara Amerika Syarikat turut menyertai operasi.


16 Julai � Operasi SAR disertai Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menggunakan helikopter peribadi baginda menemui petunjuk baru, iaitu kesan pokok patah dan terbakar di sekitar Genting View.


17 Julai � Helikopter Nuri TUDM dijumpai jam 1.24 petang. Batalion ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) dari Kem Terendak, Melaka menemui helikopter itu di kawasan kira-kira lima kilometer barat laut Genting Sempah. Bagaimanapun, semua enam anggota TUDM terkorban.

No comments:

Post a Comment