KeNYaLanG loVE

KeNYaLanG loVE

Sunday, August 28, 2011

Pesawat TUDM terhempas di hujung landasan Lapangan Terbang Kuching

5 maut nahas Caribou -- Pesawat TUDM terhempas di hujung landasan Lapangan Terbang Kuching

 Lima anak kapal pesawat Caribou DHC-4A Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terkorban petang ini selepas pesawat itu terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini.

Menurut saksi-saksi, satu letupan kedengaran ketika pesawat pengangkut buatan Kanada yang telah berusia tiga dekad itu jatuh kira-kira pukul 1.15 petang di kawasan berpaya di hujung landasan sebelah timur lapangan terbang itu.

Pesawat berkenaan musnah terbakar dalam kejadian tersebut. Yang tinggal hanya sebahagian ekornya.

Punca nahas pesawat yang dalam misi latihan biasa itu masih belum diketahui tetapi Kementerian Pertahanan mengarahkan perkhidmatan semua pesawat pengangkut Caribou diberhentikan serta-merta petang ini.

Pesawat dua enjin buatan syarikat DeHavilland dari Kanada itu merupakan pesawat tahan lasak yang berkhidmat dengan No.1 Skuadron TUDM yang berpangkalan di Kuching, Sarawak.

Mereka yang terkorban ialah kapten pesawat, Kapten Asri Abdullah, 27, dari Teluk Intan, Perak; pembantu juruterbang Kapten Salleh Abdul Malek, 37, dari Rembau, Negeri Sembilan; pembantu juruterbang kedua, Kapten Mohd. Johari Pomin, 34, dari Tanjung Karang, Selangor; Sarjan Udara Mili Mat, 35, dari Kuching, Sarawak dan Sarjan Udara Adnan Arifin, 31, dari Kota Bharu, Kelantan.

Kesemua mangsa dipercayai mati di tempat kejadian.

Allahyarham Kapten Salleh masih bujang manakala empat anak kapal lain telah mendirikan rumah tangga.

Seorang saksi, Baching Adis, 39, yang tinggal tidak jauh dari lapangan terbang berkata, dia sedang memasak makanan tengah hari apabila terdengar satu letupan kuat.

''Saya jenguk ke luar rumah dan nampak kepulan asap hitam naik ke udara. Saya ingat letupan dan asap itu adalah satu kebakaran yang berlaku di salah sebuah rumah di situ,'' katanya.

Seorang kakitangan bengkel Jabatan Kerja Raya (JKR), Racit anak Ason, 27, pula berkata, dia terkejut apabila mendengar satu dentuman kuat tidak jauh dari tempat dia bekerja.

''Dentuman cukup kuat sehingga merosakkan pintu pejabat JKR tempat saya bekerja,'' ujarnya.

Sekumpulan anggota bomba Malaysia Airport Berhad (MAB) dan anggota-anggota dari Balai Bomba Jalan Padungan di sini dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 1.17 petang, dua minit selepas nahas berlaku.

Pesawat Caribou itu dikatakan hendak berlepas apabila meletup dan terbakar sebaik sahaja terhempas.

Semua mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat dan diserahkan kepada waris masing-masing lewat petang ini.

''Empat daripada mayat mangsa nahas pesawat tersebut akan diterbangkan ke Semenanjung esok untuk dikebumikan di tempat kelahiran masing-masing,'' menurut satu kenyataan TUDM.

Sehingga kejadian hari ini, 26 orang telah terkorban dalam nahas-nahas yang melibatkan pesawat jenis itu.

Panglima TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Saruji Che Ros memberitahu pemberita, satu lembaga penyiasatan telah ditubuhkan bagi menyiasat punca kemalangan tersebut.

''Serentak dengan kemalangan ini, perkhidmatan Caribou akan dihentikan buat sementara waktu sehingga lembaga penyiasatan selesai menjalankan siasatan,'' katanya ketika ditemui di pangkalan TUDM Kuching di sini, lewat petang ini.

Siasatan diketuai oleh Leftenan Kolonel Zakaria Tahir dari No. 20 Skuadron TUDM, Subang. Beliau akan dibantu oleh Mejar Mohammad Zahari Yahya, seorang pegawai kejuruteraan dan seorang doktor, Mejar Dr. Zulkifli Yusuf.

Menurut Ahmad Saruji, pada masa ini terdapat tujuh buah pesawat Caribou beroperasi di TUDM Kuching.

Beliau yang tiba dari Kuala Lumpur terus dibawa melawat tempat kejadian diiringi oleh pegawai-pegawai kanan TUDM Kuching.

Caribou ialah pesawat pengangkutan pelbagai guna yang tertua dalam armada TUDM. Ia mula digunakan pada 1966 dengan kumpulan pertama empat buah pesawat disumbangkan oleh kerajaan Kanada.

Pegawai Perhubungan Awam TUDM Mejar Ramli Abdul Rahim dalam satu kenyataan petang ini di Kuala Lumpur berkata:

''Pesawat yang terlibat dalam nahas telah berlepas pada pukul 1.15 tengah hari dan tidak dapat dikawal pada paras ketinggian secara biasa dan seterusnya pesawat tersebut terhempas di hujung landasan.''

Nahas terakhir melibatkan pesawat yang serupa berlaku pada 31 Julai 1995 apabila salah satu Caribou terhempas di perairan negara iaitu kira-kira 400 meter dari pantai Labuan dan mengorbankan tiga pegawai tentera manakala tiga yang lain cedera.

Sementara itu, Lapangan Terbang Kuching ditutup selama setengah jam dari pukul 1.30 tengah hari hingga pukul 2 petang berikutan nahas tersebut.

Penutupan itu menyebabkan dua penerbangan iaitu MH716 dari Pontianak ke Kuching dan MH2269 dari Sibu ke Kuching diarah mendarat di Lapangan Terbang Sibu.

Menurut seorang jurucakap, penerbangan MH716 yang dijadual tiba di Kuching pada 1.30 tengah hari terlewat hampir satu jam dan tiba pada pukul 2.27 petang.

Kemalangan hari ini merupakan tragedi keempat melibatkan pesawat TUDM di Sarawak sejak 1969.

Insiden pertama melibatkan empat anak kapal terbunuh apabila pesawat Nuri terhempas di Kuching pada 25 April 1969.

Pada 25 April 1981 pula, dua terbunuh termasuk juruterbang manakala 13 penumpang cedera apabila pesawat Nuri jatuh di Kuching.

Dalam kejadian lain, sebanyak 16 anggota termasuk tiga pegawai tertinggi TUDM terkorban apabila pesawat Nuri terlibat dalam nahas di Sungai Lundu, Lundu pada 18 Disember 1989.

No comments:

Post a Comment