KeNYaLanG loVE

KeNYaLanG loVE

Sunday, August 28, 2011

Pesawat 'hilang' di tengah laut.....

ORANG ramai melihat bangkai pesawat helikopter Bell-412 SP milik Sabah Air yang dinaikkan dari dasar laut.

Pasukan penyasat DCA belum dapat kenal pasti punca nahas helikopter Bell milik Sabah Air pada 1995 korbankan 10 nyawa

KIRA-KIRA 12 tahun lalu, negara digemparkan dengan berita 10 orang maut termasuk tujuh pekerja Petronas Carigali Sdn Bhd apabila helikopter yang mereka naiki hilang beberapa minit sebelum dijadualkan mendarat di pelantar minyak Samarang, kira-kira 30 batu nautika Barat Laut Labuan, pagi ini.

Laporan Berita Harian, 30 November 1995 turut menyatakan tiga lagi yang terbunuh ialah dua juruterbang helikopter Bell-412 SP, milik Syarikat Penerbangan Sabah Berhad (Sabah Air) selain seorang kontraktor Filipina.

Pesawat itu hilang pada kedudukan 05 darjah 39 Utara dan 115 darjah 06 Timur dan dipercayai berada paras kira-kira 666 meter (2,000 kaki).

Ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 9.45 pagi dan dijangka tiba di pelantar minyak ke Samarang yang terletak kira-kira 30 batu nautika Barat Laut Labuan pada jam 10.25 pagi.

Walaupun tempoh ketibaan tiba, helikopter itu tidak sampai di pelantar minyak berkenaan sekali gus menimbulkan tanda tanya dan kebimbangan di kalangan pihak terbabit.



Petugas di menara kawalan di Kota Kinabalu hanya menerima panggilan terakhir daripada juruterbang pesawat itu pada jam 10.13 pagi. Juruterbang pesawat itu melaporkan keadaan cuaca ketika penerbangan adalah baik dan dijangka tiba pada jam 10.30 pagi.

Bagaimanapun, kira-kira jam 10.35 pagi, helikopter terbabit tidak tiba di pelantar minyak Samarang menyebabkan penyelia pelantar itu menghubungi menara kawalan dan melaporkan pesawat itu gagal mendarat pada waktu ditetapkan.

Berikutan itu bot peronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Marin dihantar ke kawasan berkenaan bagi menjalankan gerakan mencari dan menyelamat.

Operasi itu turut disertai dua helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari markas Gerakan Mencari dan Menyelamat berpangkalan di Labuan, dua helikopter Bell (Sabah Air) dan enam penyelam.

Kapal dagang yang melalui sekitar perairan itu juga diberitahu mengenai kehilangan pesawat berkenaan bagi membantu gerakan mencari dan menyelamat.

Bagaimanapun, sehingga jam 10.30 malam hari kejadian, masih tiada laporan diterima daripada pasukan mencari dan menyelamat.

Kebimbangan mengenai nasib 10 penumpang helikopter berkenaan mula tercetus di kalangan pihak berkaitan terutama ahli keluarga mereka.

Pasukan pekerja itu dikatakan dalam perjalanan ke pelantar Samarang untuk pertukaran masa bekerja selama seminggu.

Hari kedua menjelma dan operasi mencari dan menyelamat disertai pasukan mencari dan menyelamat (SAR), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Penerbangan Malaysia (DCA) Kota Kinabalu, Syarikat Sabah Air, Petronas Carigali, polis marin, Jabatan Laut Labuan, pasukan penyelam dari Miri dan Kota Kinabalu, dilakukan terus-terusan.

Berdasarkan tumpahan minyak dikesan di kawasan kira-kira 23 batu nautika di barat laut Labuan, sebuah kapal marin dan kapal M V Armada Goodman yang dilengkapi peralatan menyelam bersama sepasukan penyelam diarahkan menjalankan gerakan mencari di situ.

Alat pengesan bawah air kawalan jauh (remotely operated vehicle) juga diturunkan ke dasar laut untuk gerakan mencari.

Bilik operasi di bangunan Centre Point pula dikunjungi keluarga mangsa yang menunggu maklumat terkini.

Penemuan kesan buih berhampiran garisan tumpahan minyak di lautan luas itu menyebabkan penyelam menyelam di kawasan itu tetapi mereka hampa kerana tidak menemui apa-apa kesan.

Operasi turut dijalankan sekitar perairan Pulau Tiga, Pulau Mengalum dan Pulau Manukan. Pasukan SAR pula menumpukan gerakan mencari pada jarak 200 batu nautika ke utara Tanjung Kubong, Labuan iaitu laluan yang digunakan oleh helikopter yang hilang itu. Dasar laut di kawasan berkenaan kira-kira 35 meter.

Perkembangan yang tidak memberangsangkan pada hari kedua bagaimanapun tidak melemahkan semangat pasukan mencari dan menyelamat dan harapan untuk menjumpai 10 mangsa yang masih hilang secara misteri terus tersemat di sanubari masing-masing.

Operasi hari ketiga bagi mengesan lokasi kehilangan helikopter Bell-412 SP bersama 10 penumpang di dalamnya berakhir dengan berita duka.

Hari ketiga kejadian menyaksikan mayat dua penumpang helikopter itu ditemui terapung di perairan Kota Belud kira-kira jam 3 petang.

Helikopter itu juga disahkan terhempas selepas serpihan bahagian kipas pesawat itu ditemui tidak jauh dari tempat kedua-dua mayat berkenaan dijumpai atau kira-kira 150 kilometer ke arah Timur Laut daripada kedudukan terakhir helikopter berkenaan sebelum dilaporkan hilang.

Badan kedua-dua mayat berkenaan berkeadaan sempurna dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH), pada malam itu juga untuk dibedah siasat.

Berikutan penemuan dua mayat itu, usaha menyelamat dan mencari diteruskan bagi mengesan lapan lagi mangsa yang masih tidak diketahui keadaan mereka.

Pada hari keempat, dua lagi mayat mangsa nahas helikopter Bell 412-SP itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR), menjadikan empat orang disahkan terbunuh dalam tragedi itu.

Mayat pertama iaitu juruterbang helikopter berkenaan ditemui pada jam 6.42 pagi oleh kapal M V Brunei Eagle yang menyertai SAR manakala mayat kedua ditemui pada lokasi 10 kilometer ke Timur Laut daripada lokasi terakhir helikopter berkenaan menghubungi menara kawalan.

Sementara itu, hasil bedah siasat ke atas mayat yang dijumpai pada hari ketiga mendapati tulang belakang mangsa patah dan kematian mereka dipercayai berpunca daripada tekanan terlalu kuat. Bagaimanapun, tiada kesan melecur pada badan mangsa.

Dalam pada itu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) bingung memikirkan punca sebenar sehingga menyebabkan helikopter Sabah Air Bell 412-SP itu terhempas.

Persoalan sama ada helikopter itu mengalami kerosakan mekanikal sehingga menyebabkan ia terhempas juga tidak dapat dipastikan kerana dalam keadaan biasa, juruterbang sebarang pesawat yang menghadapi masalah mekanikal mempunyai masa yang cukup untuk menghantar isyarat kecemasan sebelum sebarang kejadian buruk berlaku.

Pada hari keenam iaitu 4 Disember 1995, satu lagi mayat mangsa nahas helikopter Bell 412-SP milik Sabah Air ditemui di perairan Pulau Tiga menjadikan lima orang semuanya ditemui setakat itu.

Mayat itu ditemui kapal KD Jerung pada jam 4.06 petang dan diterbangkan dengan helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Kota Kinabalu.

Mayat berkenaan ditemui pada kedudukan 11 kilometer ke arah Timur Laut dari tempat hubungan terakhir helikopter itu dengan menara kawalan.

No comments:

Post a Comment